JEREZ, SEPANYOL – Pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez mengakui dia sendiri tidak mempunyai jawapan bagaimana mampu tampil dominan untuk memenangi Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Jerez, kelmarin.
Naib juara dunia musim 2025 itu sebelum ini menolak andaian bahawa dia mampu mengulangi kejayaan di Jerez seperti musim lalu selepas bergelut dengan permulaan sukar bersama jentera Ducati GP26 musim ini.
Bagaimanapun, Alex mula menunjukkan petanda positif apabila mempamerkan rentak terbaik sejak sesi latihan Jumaat sebelum menukar petak kelima di grid kepada pendahulu perlumbaan seawal pusingan kedua daripada 25 pusingan keseluruhan.
Pelumba Sepanyol itu akhirnya menghadiahkan kemenangan pertama buat dirinya dan Ducati musim 2026 apabila menamatkan perlumbaan hampir dua saat di depan pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi.
“Saya sendiri tidak ada jawapan. Saya rasa ia sesuatu yang magis di Jerez. Sejak hari Jumaat lagi saya rasa begitu laju dan saya tidak tahu kenapa, sejujurnya.
“Saya cuba abaikan masalah dan fokus kepada perkara positif bersama pasukan serta Ducati. Jentera ini sebenarnya mempunyai banyak kelebihan, tetapi kami gagal mengeluarkan potensinya pada tiga perlumbaan pertama musim ini,” katanya.
Alex turut mengakui kemenangan tersebut agak di luar jangkaan walaupun dia sedar memiliki rentak terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan.
1“Sebaik sahaja saya berada di tempat kedua pada pusingan pertama, saya tahu saya ada peluang besar. Saya kemudian membuat keputusan untuk memintas Marc (Marquez) dan selepas itu hanya fokus untuk tidak melakukan kesilapan,” katanya. – AGENSI














