BANGI – Barisan Nasional (BN) masih belum menetapkan sebarang keputusan sama ada akan bergerak secara solo atau menjalin kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut merupakan strategi dalaman yang tidak perlu didedahkan kepada umum buat masa ini.
“Itu rahsia parti,” katanya ringkas ketika di temubual selepas merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di sini hari ini.
Khaled turut menyentuh mengenai inisiatif Rumah Bangsa yang ditubuhkan sebagai platform terbuka untuk menarik penglibatan golongan muda.
Tegasnya, Rumah Bangsa bukan sekadar usaha untuk menarik kembali bekas ahli UMNO, sebaliknya ia berfungsi memudahkan anak muda menyuarakan pandangan tanpa perlu melalui proses birokrasi yang rumit.
“Kita mahu menjadikan Rumah Bangsa sebagai wadah bagi sesiapa sahaja yang mempunyai cadangan serta visi untuk memajukan negara,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Rumah Bangsa ini menjadi peluang terbaik untuk menyatukan parti Melayu sekaligus mengekalkan kuasa politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dimana, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada bekas ahli untuk kembali, malah turut membuka peluang kepada individu baharu untuk menyertai UMNO.—KOSMO! ONLINE














