BACHOK – Seorang wanita yang ditahan selepas dipercayai membakar sampah sehingga menyebabkan kebakaran semak dan rangka sebuah kereta di depan sebuah rumah terbengkalai di Jalan Pantai Perkasa di sini pada Jumaat lalu dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, wanita berusia 52 tahun itu dibebaskan kelmarin selepas memberi keterangan kepada pihak polis.
Bagaimanapun katanya, kertas siasatan berhubung kes tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
“Wanita tersebut sudah memberi keterangan selepas ditahan pada Jumaat lalu. Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka lebih-lebih lagi ketika cuaca panas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.- KOSMO! ONLINE














