KOTA BHARU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud mengesahkan beliau dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan memperlekeh tugas polis hari ini.
Wan Rohimi berkata, beliau akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu sekitar pukul 5 petang ini.
“Saya akan memberikan keterangan petang ini,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, polis Kelantan membuka tiga kertas siasatan berhubung kenyataan seorang lelaki yang didakwa memperlekeh tugas pasukan itu semasa berucap selepas menyertai konvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu mengawal penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Katanya, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina atau tingkah laku tidak sopan di tempat awam.
“Kita menerima satu laporan berhubung satu rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang individu lelaki mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis semasa menjalankan penugasan sekatan jalan raya.
“Siasatan awal mendapati, individu berkenaan turut mendakwa dia berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas,” katanya.
Mohd. Yusoff memberitahu, kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab dan bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif sekali gus boleh menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti polis. – KOSMO! ONLINE














