MUSCAT – Beribu-ribu udang mati terdampar di sebuah pantai di wilayah Mirbat, Oman, menyebabkan pemandangan di kawasan itu berubah menjadi warna merah jambu, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Dalam satu video tular, kawasan pesisir pantai dan air laut dilihat menjadi warna merah jambu. Selepas diperhatikan lebih dekat, ia didapati merupakan bangkai udang yang terdampar.
“Lihatlah warna laut ini dan betapa banyaknya udang mati di pantai,” kata perakam video.
Sementara itu, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Sumber Air Oman mengeluarkan kenyataan di platform X Rabu lalu yang berkata, kematian besar-besaran krustasea kecil (seperti udang atau kril) berpunca daripada faktor semula jadi dan iklim.
Menurut kementerian, punca yang paling mungkin termasuk perubahan suhu air secara tiba-tiba, tahap oksigen terlarut yang rendah dan kesan arus laut kuat yang menghanyutkan organisma itu ke kawasan kurang kondusif untuk kelangsungan hidup.
Kementerian itu juga menambah bahawa satu pasukan dari Pusat Penyelidikan Perikanan di Daerah Dhofar telah melawat beberapa lokasi.
Mereka tidak menemui bukti pencemaran alam sekitar atau kematian spesies marin lain. – AGENSI














