LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui teruja apabila menyaksikan pasukannya muncul kelab pertama yang berjaya melangkah ke pentas final Piala FA buat kali keempat berturut-turut.
Pada aksi separuh akhir di Wembley awal pagi semalam, City bangkit mencatat kemenangan menewaskan Southampton 2-1 menerusi dua gol pada 10 minit terakhir perlawanan hasil jaringan Jeremy Doku dan Nico Gonzalez selepas ketinggalan menerusi gol Finn Azaz pada minit ke-79.
Kali terakhir City meraih kejuaraan Piala FA ketika menewaskan Manchester United pada 2023, namun aksi final pada dua edisi lalu menyaksikan mereka kecundang di tangan The Red Devils dan Crystal Palace.
“Belum ada pasukan yang mara ke final Piala FA sebanyak empat kali berturut-turut. Ia sangat luar biasa dan kami harap momentum ini akan terus kekal,” katanya.
Pada perlawanan itu, Guardiola membuat lapan pertukaran berbanding kesebelasan utama yang menewaskan Burnley 1-0 sebelum ini, namun percaturan itu kurang berkesan apabila Southampton dilihat selesa menguasai babak pertama.
Bagaimanapun, babak kedua menyaksikan City membawa masuk Erling Haaland, Doku dan Bernardo Silva menyaksikan mereka mula bermain dengan baik dan tersusun biarpun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Southampton.
“Ia agak sukar pada babak pertama, namun pemain sayap seperti Doku dan Savinho dimasukkan dan mereka menggunakan kelebihan kepantasan untuk mengubah perlawanan,” ujarnya.
Ditanya mengenai peluang City untuk merangkul gelaran trebel domestik seperti yang dilakukan pada 2019, Guardiola mengakui bahawa mereka masih jauh untuk mencipta pencapaian tersebut dan enggan memikirkannya.
“Perjalanan itu masih jauh. Sebelum aksi final nanti, kami perlu bertemu Aston Villa dan selepas itu baru saya akan bercakap mengenainya. Apa yang penting saya mahu pemain berehat dan tidak memikirkan mengenai bola sepak” jelasnya. – AGENSI














