fbpx
NOOR SVETLANA (kiri) bersama Mohd. Jailani (kanan) dan ibu Muhammad Faiq Zafran, Noor Zuhaini Ismail di luar Balai Polis Toyama, Jepun semalam.

Bapa lega Faiq dapat makanan halal penjara Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Ahli keluarga Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, 24, tetap reda selepas pemuda yang berasal dari Manir, di sini itu dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas tiga kesalahan menipu oleh Mahkamah Rendah Toyama kelmarin.

Bapa Muhammad Faiq Zafran, Mohd. Jailani Ambak, 52, yang turut berada di Jepun berkata, dia sekeluarga akur dengan keputusan mahkamah, namun lega apabila akhirnya dia dapat berkomunikasi dengan anak keduanya itu.

“Semalam (kelmarin) baru dapat bercakap dan bertanya khabar dengan Faiq. Lega dia be­ritahu sepanjang dalam tahanan, dia telah diasingkan mengikut keperluan dan disediakan makanan halal,” katanya kepada ­Kosmo! Ahad semalam.

Hukuman penjara terhadap graduan politeknik tersebut bermula sejak tarikh penahanan reman sejak 18 November lalu.

Keluarga Muhammad Faiq Zafran menerusi peguam lantikan, Datuk Noor Svetlana Mohd. Noor Nordin akan membuat rayuan berhubung hukuman demikian.

Noor Svetlana berkata, hakim mahkamah rendah menetapkan hukuman penjara empat tahun itu berjalan serentak bagi ketiga-tiga pertuduhan yang didakwa dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu Tokyo, Osaka dan Toyama.

“Faiq didakwa mengikut Per­kara 246(1) Kanun Keseksaan Je­pun berkaitan kesalahan me­ni­pu harta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.

“Apa pun, saya dan pihak keluarga telah berbincang untuk ambil langkah seterusnya termasuk mengemukakan rayuan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Kosmo! melaporkan gra­duan politeknik di Perlis tersebut dilaporkan hilang sejak November lalu rupa-rupanya ditahan pihak berkuasa Jepun kerana disyaki terperdaya tawaran sindiket peni­puan pekerjaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN