fbpx
Amirudin (dua kanan) melihat lakaran projek pada pelucuran ZIPS Sungai Lang, Sabak Bernam. Foto oleh AFIQ RAZALI

ZIPS Sungai Lang pacu hab perikanan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAK BERNAM – Projek Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) berpotensi muncul hab baharu industri perikanan negeri ini dengan anggaran pelaburan awal hingga RM200 juta bagi penyediaan infrastruktur asas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu melibatkan pembinaan kemudahan asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik bagi menggerakkan pembangunan awal dalam kawasan seluas kira-kira 242.8 hektar.

Menurutnya, projek berkenaan dilaksanakan menerusi inisiatif swasta sepenuhnya melibatkan Menteri Besar Incorporated (MBI) bersama pemaju serta pelabur strategik.

“Anggaran RM100 juta hingga RM200 juta ini hanya bagi kemudahan asas. Pembangunan seterusnya akan dipacu oleh pelabur yang masuk dan mengembangkan kawasan ini.

“ZIPS ini berfungsi dalam proses hiliran perikanan. Boleh hasilkan keropok dan bahan makanan selain menjadi produk ketiga dan keempat (hiliran).

“Ia akan menjadi satu industri yang lengkap digabungkan dengan sektor logistik dan juga penghantaran dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meluncurkan ZIPS Sungai Lang di sini, hari ini.

Beliau berkata, ZIPS akan memproses hasil perikanan bukan sahaja dari kawasan sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor malah dari Bagan Datuk, Perak.

Tambahnya, pembangunan ZIPS disokong projek infrastruktur sekitar termasuk Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dan pembinaan Jambatan Kedua Sungai Besar yang bakal meningkatkan akses logistik.

“Kerajaan negeri kini dalam fasa memperincikan pelan induk pembangunan yang akan menjadi panduan utama pelaksanaan projek secara berperingkat.

“Kita menyasarkan projek itu dapat digerakkan dalam tempoh lima tahun akan datang dengan sekurang-kurangnya fasa pertama menunjukkan hasil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN