JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperluaskan bantuan perumahan dengan menambah baik inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) dalam menggalakkan lebih ramai rakyat di negeri ini memiliki rumah.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, agenda perumahan kekal menjadi antara keutamaan utama pentadbiran negeri di bawah pelan Maju Johor 2030 bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Katanya, dianggarkan 2,506 penerima mendapat manfaat menerusi fasa kedua bantuan PKJ yang merangkumi tiga kategori bantuan dengan jumlah keseluruhan lebih RM10.5 juta.
“Bagi kategori pertama, seramai 1,800 pembeli rumah pertama akan menerima bantuan RM5,000 bagi menampung kos awal pembelian rumah berharga bawah RM500,000.
“Kerajaan negeri turut menaikkan bantuan one-off daripada RM1,000 kepada RM2,000 buat penerima untuk berpindah masuk ke rumah pertama bagi meringankan beban membeli perabot dan keperluan asas kediaman yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Inisiatif PKJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, bantuan PKJ sewa rumah yang diberikan sebanyak RM200 sebulan selama 10 bulan ditambah baik dengan memberikan bantuan secara sekali beri berjumlah RM2,500.
Tambahnya, had kelayakan sewaan turut dinaikkan daripada pendapatan isi rumah RM1,500 sebulan sehingga RM2,500 sebulan untuk layak memohon rumah tersebut.
“Pertumbuhan ekonomi negeri termasuk limpahan manfaat daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membolehkan kerajaan negeri memberikan manfaat ini kepada penerima.
“Apabila hasil negeri meningkat, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengembalikan kemakmuran itu kepada rakyat menerusi inisiatif bermakna seperti bantuan perumahan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut mempertimbangkan untuk memperluaskan bantuan pembelian rumah kepada pembeli Bumiputera kategori M40 bagi hartanah berharga antara RM300,000 hingga RM650,000.-KOSMO! ONLINE
Habis














