KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi menerusi Ops Tiris (Bersepadu) 4.0 di sekitar ibu negara, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pasukan khas mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan keluar masuk stesen minyak di Jalan Kepong dan Jalan Kuching.
Menurutnya, kenderaan tersebut kemudian diekori sebelum ditahan kira-kira pukul 6.40 petang di tepi Jalan Air Jernih, berhampiran Sekolah Kebangsaan Marian Convent, Setapak.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu telah diubah suai dengan pemasangan empat tangki jenis tangki simpanan industri (IBC) berkapasiti 1,000 liter setiap satu di bahagian belakang, selain dilengkapi pam penyedut bagi memindahkan diesel ke tangki tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pengendalian dan penyimpanan bahan api tersebut.
Susulan itu, beliau berkata, individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tambahnya, sebanyak 3,500 liter diesel disyaki barang kawalan telah disita dengan anggaran nilai RM17,920 (harga tanpa subsidi) atau RM7,525 (harga subsidi).
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM52,000 termasuk kenderaan, tangki IBC, pam penyedut, hos penyambung dan sebuah telefon bimbit,” ujarnya.
Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE














