PETALING JAYA – Pelakon Datin Atikah Suhaime tidak pernah menyangka rumah tangga yang dibina dengan usahawan Datuk Lokman Teh sebenarnya bukan seindah yang disangka.
Menurut Atikah atau nama penuhnya Nur Atikah Mohd. Suhaime, 35, antara dugaan perkahwinan yang dilalui termasuk berasa jengkel dengan suaminya.
“Ujian selepas berkahwin memang menjadi realiti.
“Pelik, sebelum kahwin, saya selalu fikir suami saya sempurna.
“Tetapi selepas kahwin, semua benda yang suami buat saya rasa menyampah,” katanya dalam platform Threads.
Dia juga mendedahkan turut mempunyai turut mempunyai cara tersendiri untuk mengelak rumah tangganya hanyut dilanda badai termasuk mengamalkan zikir.
“Saya selalu amalkan istighfar sebanyak 100 kali selepas subuh dan perlahan-lahan hati lembut semula pada suami.
“Saya juga perasan setiap kali selepas datang bulan, pasti akan mula bergaduh dengan suami sebab tidak solat dan zikir.
“Kalau habis datang bulan, kembali berzikir dan solat, akan okey semula,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia turut tertanya-tanya sama ada ujian yang dilalui ketika ini adalah disebabkan penyakit ain atau sebaliknya.
“Adakah ini normal?
“Atau ini yang orang panggil sebagai penyakit ain? Kalian macam ini juga atau bagaimana?” ujarnya lagi.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen memberi pandangan perkara yang dilakui Atikah adalah normal dalam kehidupan suami isteri.
Namun orang ramai turut berpesan kepadanya agar tidak terlalu kerap berkongsi kebahagiaan dalam media sosial.
Terdahulu, Atikah dan Lokman selamat bernikah pada 21 Januari 2024 dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan sahabat terdekat.
Hasil perkahwinan, Atikah dan suami menimang anak perempuan pada 8 Mac tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














