ALOR GAJAH – Pasukan bomba membantu mengeluarkan seekor lembu berusia lapan yang terperosok ke dalam lubang projek pemasangan paip di Kampung Gaung Keladi, Lubuk Cina, di sini semalam.
Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.49 petang oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah sebelum sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, seekor lembu seberat kira-kira 80 kilogram didapati telah terjatuh ke dalam lubang projek berkenaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) segera menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan hos hantaran sebagai sokongan bagi mengangkat haiwan tersebut secara berhati-hati.
“Kaedah itu digunakan bagi mengelakkan kecederaan pada badan lembu sepanjang proses menyelamat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, operasi tersebut mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum lembu tersebut berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat.
“Lembu berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pemiliknya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.38 malam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














