PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya mengalami gangguan petang ini susulan panahan petir yang menjejaskan operasi tren di sepanjang laluan berkenaan.
Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan, insiden itu dikesan pada pukul 4.22 petang sehingga menyebabkan kelewatan perjalanan semua tren di laluan terbabit.
Menurut kenyataan itu, pihak operasi sedang giat menjalankan kerja baik pulih bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan dan kembali beroperasi seperti biasa dalam kadar segera.
“Penumpang yang ingin menggunakan MRT Laluan Putrajaya disarankan menggunakan pengangkutan alternatif buat sementara waktu,” katanya hari ini.
Tambahnya, kakitangan tambahan telah digerakkan ke stesen-stesen terlibat bagi mengawal aliran penumpang dan mengurangkan kesesakan.
“Pengguna yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan khidmat pegawai stesen serta polis bantuan di lokasi.
“Sebarang maklumat terkini akan dikemas kini menerusi media sosial Rapid KL dan pengumuman di stesen,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














