PETALING JAYA – Pengguna kemudahan tempat letak kenderaan di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Maluri, Cheras, Kuala Lumpur buntu selepas kawasan itu tiba-tiba ditutup tanpa sebarang notis.
Menurut beberapa perkongsian di media sosial, kawasan tempat letak kereta itu tiba-tiba dihalang beberapa penghalang konkrit dan orang ramai diarahkan untuk meletakkan kereta di kawasan tanah lapang bertentangan pintu masuk kawasan itu.
Seorang pengguna dikenali sebagai Syazana berkata, tempat letak kereta itu tiba-tiba ditutup semalam dan dia diarahkan untuk ke kawasan tanah lapang itu untuk meletakkan kenderaannya dengan kadar bayaran RM3.
“Tiba-tiba kawasan parkir MRT ini ditutup semalam dan hari ini juga masih lagi ditutup.
“Terdapat kawasan parkir tidak sah yang dibuka di tepi pencawang elektrik dan pengguna dikenakan caj sebanyak RM3,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Katanya, tiada sebarang notis diletakkan di kawasan itu mengenai penutupannya selain usaha menghubungi pihak pengendali juga tidak membuahkan sebarang hasil.
“Kami ada rujuk pihak pengendali dan mereka kata kawasan parkir itu ditutup oleh pihak tidak bertanggungjawab, sehingga kini masih menunggu respon daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
“Saya dan rakan juga ada hubungi pihak MyRapidKL untuk penjelasan tetapi mereka juga maklumkan tiada penutupan dan minta kami untuk laporkan kepada DBKL,” katanya.
Syazana berkata, kawasan letak kereta yang tiba-tiba wujud di sebelah parkir itu juga tidak pasti diuruskan oleh siapa malah caj RM3 tersebut juga dibayar kepada akaun peribadi milik beberapa individu yang menjaga kawasan berkenaan.
“Semalam saya disuruh meletakkan kenderaan di kawasan itu sebelum tayar kereta pecah kerana terkena batu.
“Terdapat beberapa individu yang mengutip bayaran daripada pengguna dan kawasan ini juga tidak selamat kerana terdapat banyak anjing liar berkeliaran terutama pada waktu malam,” katanya.
Sementara itu, pengendali tapak parkir MRT Maluri, Parkit Solutions dalam satu hantaran memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan kepada DBKL pada Selasa lalu berhubung penutupan kawasan itu. – KOSMO! ONLINE
















