PETALING JAYA – Didakwa mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta, pelakon Norish Karman mendedahkan kos perubatan ketika sakit tempoh hari ditaja beberapa pihak, bukan atas perbelanjaan sendiri.
Norish atau nama sebenarnya Nor’Ashikin Karman, 52, berkata, dia juga tidak sedar berikutan keadaan kesihatannya ketika itu, sekali gus tidak mengetahui hospital yang dituju anaknya.
“Ada penaja dari Singapura dan seorang penerbit di Kuala Lumpur yang begitu baik, mulia hati yang menggesa saya mendapatkan rawatan terbaik. Jadi saya buatlah.
“Ketika itu saya pun tak sedar, ini semua kerja Amanda (anak). Tahu-tahu saya di katil hospital, anak saya uruskan semuanya dengan arahan daripada orang Singapura dan seorang dari Kuala Lumpur.
“Mereka menyuruh anak saya memberikan rawatan yang terbaik pada saya. Macam itulah kaedahnya,” katanya ketika diwawancara dalam program Melodi, malam tadi.
Ibu tunggal lapan anak itu mengulas isu berkenaan rawatan dijalaninya di sebuah pusat perubatan lima bintang sekitar dua minggu lalu yang dipersoalkan netizen dalam laman sosial.
Pada masa sama, Norish turut berharap netizen jangan lagi mengutuk mahupun mempersoalkan situasi sulit yang dilalui keluarganya.
“Saya rasa tak ada siapa pun manusia perlu pertikaikan dan minta mohon berhentikanlah maki hamun anak-anak saya.
“Saya okey, 32 tahun jadi artis orang maki, okey saja. Tak payahlah ungkit cerita lama, bosanlah? Dah basi dah,” ujarnya.
Biarpun berdepan cacian, pelakon filem Sayang Salmah itu tetap memaafkan mana-mana individu yang melemparkan kecaman.
“Hari ini saya ikrar mengampunkan semua kata-kata kesat. Bagaimana Allah selalu maafkan kita, carilah keredaan Allah, perlahan-lahan perbaiki diri kita,” katanya.
Terdahulu, nama pelakon hangat diperkatakan selepas anaknya berkongsi keadaannya di hospital sehingga meraih perhatian ramai untuk membantu termasuk usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri. – KOSMO! ONLINE














