SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersedia melaksanakan dasar Murid Tahun 1 Enam Tahun bermula tahun hadapan dengan beberapa langkah persediaan sedang giat dilakukan ketika ini
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara langkahnya termasuk penggunaan bilik darjah dengan kapasiti maksimum 45 murid bagi setiap kelas.
“Selain itu, JAIS akan menyediakan infrastruktur tambahan bilik darjah untuk menampung pertambahan murid dan menambah kepada tiga sesi persekolahan mengikut kesesuaian,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) mengenai persediaan JAIS untuk menerima murid tahun itu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan unjuran kekurangan guru di sekolah JAIS mencecah 880 orang, manakala kira-kira 80,000 permohonan kemasukan dijangka diterima menjelang 2027. – KOSMO! ONLINE














