JOHOR BAHRU – Lelaki warga emas yang dipercayai menembak mati tiga individu termasuk seorang wanita di sebuah restoran di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi pada Ahad lalu akan dituduh di mahkaamh pada Isnin depan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 71 tahun bakal berdepan tiga pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi.
“Suspek direman sehingga Ahad ini. Semalam kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor. Kita mendapat arahan tuduh suspek dengan tiga pertuduhan atas kesalahan membunuh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek dan tiga mangsa termasuk dua lelaki tempatan tidak mempunyai hubungan kekeluargaan, sebaliknya hanya kawan.
Katanya, mangsa wanita warga Vietnam menguruskan perniagaan restoran milik ibu mertuanya, manakala dua lagi mangsa lelaki berusia 61 dan 63 tahun adalah pelanggan tetap di premis tersebut.
“Suspek memberi pinjam wang kepada mangsa wanita bagi menguruskan perniagaan restoran itu yang diberikan secara berperingkat sejak 2023 berjumlah RM50,000. Bagaimanapun, tiada perjanjian rasmi atau dokumen sah,” katanya.
Tambahnya, suspek yang mempunyai isteri dan empat anak dilaporkan tidak mabuk dan bukan berada di bawah pengaruh dadah.
“Lesen senapang patah pula dikeluarkan di Kuantan, Pahang. Suspek memiliki lesen sah sejak 1991. Polis turut merampas beberapa barangan termasuk kelongsong peluru di dalam kereta Toyota Vios milik suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE














