fbpx
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Tumpat semalam.

Guna ‘fleet card’ rakan, seludup diesel jual di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Seorang lelaki diberkas di Kampung Simpangan di sini semalam selepas dipercayai menyalahgunakan kad subsidi diesel atau ‘fleet card’ milik rakannya di tiga buah stesen minyak sebelum menyeludup bahan api itu ke Thailand.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 49 tahun itu yang memandu lori jenis Daihatsu mengisi diesel di stesen minyak Pengkalan Kubor dan Wakaf Bharu di sini sebelum ke Tendong, Pasir Mas pada pukul 9.30 hingga 11.30 pagi.

“Sepasukan anggota PGA mengekori lori ke pangkalan haram Tualang di sini sebelum kenderaan itu keluar menghala ke dua buah stesen minyak di Wakaf Bharu.

“Kenderaan itu kemudian bergerak ke sebuah lagi stesen minyak di Tendong untuk membuat pengisian diesel kali ketiga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi berkata, anggotanya menahan lori itu di jalan Kampung Simpangan kira-kira pukul 1 tengah hari dan pemeriksaan menemui dua keping ‘fleet card’ atas nama pemilik lori tersebut.

“Hasil soal siasat, lori itu milik rakannya yang disewa suspek untuk kegiatan penyeludupan diesel. Suspek mengisi sebanyak 90 liter diesel berharga lebih RM460 ke dalam tangki lori tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, 90 liter diesel yang diisi dalam tangki lori tersebut dijual pada harga RM360. Sebanyak dua hingga tiga trip perjalanan pengisian diesel dilakukan suspek setiap hari bergantung kepada permintaan pembeli dari Thailand.

“Pembelian bahan api itu dipercayai diuruskan rakannya dikenali sebagai Pak Li dengan upah RM30 hingga RM40 untuk sekali perjalanan.

“Mereka berhubung menggunakan aplikasi Zalo bagi setiap urusan jual beli diesel tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN