KLANG – Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga asing ditemukan maut di sebuah rumah di Pelangi Promenade di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung penemuan mayat mangsa, kira-kira pukul 3.15 petang.
Menurutnya, susulan kejadian itu, seorang wanita warga asing berusia 32 tahun ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Motif kejadian dipercayai berpunca salah faham antara mangsa dan suspek.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya malam ini.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang didapati menggugat ketenteraman awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














