KUANTAN – Isu ‘kereta potong’ bagai tiada berkesudahan apabila penipuan penjualan kereta berkenaan didakwa terus berlaku demi mengaut keuntungan.
Bukan sahaja pengguna yang tertipu dengan penjualan kereta ‘total lost’, tetapi penjual kereta terpakai juga turut menjadi mangsa sehingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.
Seorang jurujual, Mohd. Hakim Mohd. Razali, 35, mendakwa, kereta Toyota Vios yang dibelinya tahun lalu terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan bahagian hadapan kenderaan itu rosak teruk.
Dakwanya, kemalangan berlaku apabila pemandu tersebut terbabas gara-gara mengelak se-ekor babi melintas di Batu Rakit Terengganu pada 2021.
Katanya, dia membeli kereta berkenaan di sebuah kedai jualan kereta terpakai di Kuala Lumpur padaa harga RM36,800 dengan setiap bulan perlu membayar RM511 selama sembilan tahun selain geran atas namanya.
“Saya hanya menyedari kereta berkenaan adalah ‘kereta potong’ selepas mahu memperbaharui insurans baru-baru ini. Ejen memberitahu insurans hanya boleh dibuat dengan bantuan kedai jualan kereta berkenaan,” dakwanya.
Berikutan itu, dia terus memeriksa kenderaan tersebut sebelum mendapati terdapat kesan potong dan kimpalan tidak sempurna pada bahagian pintu kenderaan.
Dakwanya, dia kemudiannya menghubungi kedai berkenaan dan terkejut apabila mereka mendakwa tidak menyedari berhubung keadaan kereta itu.
“Saya hubungi kedai itu dan mereka dakwa tidak tahu. Mustahil dan saya rasa tertipu. Pelik bagaimana kereta ini boleh ditukar nama kerana setahu saya ia memerlukan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Saya buat pemeriksaan dan simpan salinan laporan polis kemalangan melibatkan kereta ini, selain rujukan yang menyatakan ia total lost. Saya juga bimbang bagaimana untuk memperbaharui cukai jalan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, nasib yang sama turut dilalui pemilik syarikat kereta terpakai, Pusat Auto BSA, Pang Kim Fook, apabila kereta yang dibeli menerusi tawaran tender dalam talian oleh sebuah syarikat kereta terkenal rupanya kereta potong.
Katanya, dia menyedari kereta jenis Toyota Camry yang dibeli pada 2022 adalah kereta potong selepas mahu menukar nama kepada pembeli baharu.
“Semuanya terbongkar apabila saya membawa kereta untuk pemeriksaan di Puspakom baru-baru dan mendapati ia adalah kereta potong, berdasarkan laporan polis saya dapati kereta ini remuk teruk akibat kemalangan,” katanya di sini.
Tambahnya dia juga kecewa kerana sebelum ini syarikat berkenaan ada menyediakan laporan pemeriksaan Puspakom yang menyatakan kereta tersebut hanya mengalami moderate accident iaitu kemalangan ringan.
Dakwanya, berdasarkan pemeriksaan di Puspakom terdapat kesan potong dan sambung pada bahagian lantai kereta sebelah kiri dan kanan.
Selain itu dakwanya, bahagian pillar di sebelah kiri dan kanan juga terdapat kesan potong dan sambung dibuat pada kerangka casis.
“Saya juga telah ke Jabatan Pengangkutan Jalan dan laporan pemeriksaan menunjukkan kereta ini terdapat kesan potong dan sambung pada bahagian lantai serta roof rail kiri dan kanan.
“JPJ mengesahkan kenderaan ini tidak selamat digunakan di jalan raya dan tidak mematuhi kaedah 94, Kaedah-kaedah kenderaan bermotor (pembuatan dan penggunaan) 1959,” katanya yang telah membuat laporan polis pada 2 April lalu.
Tambah Kim Fook juga, pemeriksaan yang dilakukannya di laman web Jom Check Vehicle mendapati kenderaan tersebut direkodkan telah mengalami kemalangan yang serius dengan 11 tuntutan insurans antara Jun 2017 hingga November 2019.














