JEREZ – Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo mengharapkan tuah menjadi miliknya pada aksi GP Sepanyol ketika Litar Jerez memberinya banyak momen indah ketika merangkul kemenangan pada aksi debut 2020 serta meraih petak pertama musim lalu.
Bagaimanapun, Quartararo sedar bahawa tuah sahaja tidak cukup ketika persembahan enjin V4 jenteranya masih belum menemui prestasi dan pelarasan terbaik untuk memberikan saingan musim ini.
Saingan di GP Amerika Syarikat sebelum ini menjadi titik paling rendah untuk pasukan itu apabila keempat-empat jentera Yamaha berada dalam kelompok paling belakang, malah mereka tidak pernah menamatkan perlumbaan lebih tinggi daripada kedudukan ke-14.
Namun, Quartararo berjaya memberikan sedikit harapan apabila menamatkan saingan pecut di GP Brazil pada kedudukan keenam dan memulakan perlumbaan pada petak keempat.
“Sangat teruja untuk kembali beraksi selepas tempoh rehat selama tiga minggu dan saya gembira untuk memulakan saingan di Eropah.
“Jerez adalah litar yang memiliki suasana yang cukup istimewa, para peminat yang begitu hebat dan apa yang utama adalah anda merasakan aura sebaik tiba di sini.
“Saya memiliki kenangan yang istimewa di litar ini. Saya memenangi perlumbaan pertama MotoGP di sini dan ia akan sentiasa menjadi memori yang akan diingati sepanjang hayat.
“Kami akan memulakan jadual yang padat apabila kalendar perlumbaan akan berlangsung dalam tempoh yang singkat. Jadi, kami perlu memberikan fokus sepenuhnya untuk memberikan aksi terbaik setiap kali beraksi,” jelasnya. – AGENSI














