LONDON – Seperti dijangka, Chelsea akhirnya mengambil keputusan drastik apabila memecat pengurus, Liam Rosenior walaupun hanya mengemudi pasukan itu kurang daripada empat bulan sejak dilantik pada Januari lepas.
Keputusan tersebut dibuat selepas menyaksikan The Blues tewas lima perlawanan liga berturut-turut tanpa menjaringkan sebarang gol sekali gus menjadi rekod terburuk pasukan sejak 1912.
Situasi itu turut meletakkan Chelsea di ambang kegagalan untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan selepas menduduki tangga kelapan dengan hanya mengutip 48 mata.
“Ini bukan keputusan mudah, namun prestasi dan keputusan semasa tidak seperti yang diharapkan meskipun saingan musim ini masih berjalan. Kami ucapkan selamat maju jaya buat kariernya selepas ini,” kata kenyataan ringkas yang dikeluarkan Chelsea awal pagi semalam.
Posisi Rosenior kini diisi sementara oleh jurulatih skuad bawah 21 (B-21), Calum McFarlane sehingga penghujung musim.
Sebagai rekod, Rosenior berhijrah ke Stamford Bridge dari RC Strasbourg pada Januari lalu selepas menandatangani kontrak jangka panjang sehingga 2031 bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Enzo Maresca.
Dalam perkembangan sama, Pengendali Bournemouth, Andoni Iraola muncul calon utama untuk menjadi pengendali baharu The Blues selepas musim ini berakhir.
Sekiranya rundingan dengan Iraola tidak menjadi, nama pengendali Newcastle United, Eddie Howe turut berada dalam radar pengurusan Chelsea selain dua bekas pengurus terkenal, Jose Mourinho ataupun Frank Lampard. – AGENSI














