KUALA LUMPUR – Seorang peguam dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan memandu kereta dalam keadaan mabuk pada Februari lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap peguam lelaki yang berusia 38 tahun itu selepas menyemak keputusan Mahkamah Majistret pada 15 April lepas yang hanya mengenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 selama dua tahun terhadapnya.
Selain hukuman penjara dan denda mahkamah turut memerintahkan lesen memandu peguam itu selaku responden dibatalkan selama dua tahun.
Mengikut pertuduhan, peguam itu yang mengaku bersalah didakwa memandu kereta jenis Mercedes dengan kandungan alkohol dalam badannya sebanyak 71 miligram dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu lebih 21 mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50 mg alkohol dalam 100 ml darah di Jalan Awan Besar dari Bukit Jalil menghala ke arah Puchong pada 12.40 tengah malam pada 27 Februari lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dari tarikh sabitan.
Terdahulu, peguam Ng Chia How yang mewakili responden memohon agar mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret atas alasan mahkamah itu tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Peguam itu berkata, anak guamnya telah melakukan kesilapan dan dia juga mengaku bersalah, namun kesilapan yang dilakukannya tidak memadamkan segala kebaikan yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Dia mempunyai masa depan yang cerah…mohon mahkamah memberi peluang kepadanya untuk berubah dan melakukan apa yang terbaik bagi dirinya dengan menyumbang (khidmat guaman) kepada masyarakat,” katanya.
Menurut peguam itu, anak guamnya juga mempunyai masalah kemurungan dan keadaan kesihatannya perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.
“Dia menyesal dan menanggung kesan akibat perbuatannya setiap hari,” kata peguam itu.
Bagaimanapun Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Mohd. Nordin Ismail berkata hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret adalah tidak mencukupi dan memohon mahkamah melalui semakan, menjatuhkan hukuman penjara terhadap responden.
“Responden adalah seorang peguam yang profesional dan sebagai peguam dia sepatutnya tahu (undang-undang). Dia sepatutnya tahu risiko yang dihadapi oleh pengguna jalan raya,” katanya yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum. – KOSMO! ONLINE














