KUALA LUMPUR – Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan sudah berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya menjelang kejohanan antarabangsa pertamanya tahun ini pada Kejohanan Balingan Mokpo di Korea Selatan bermula 2 hingga 3 Mei depan.
Dia mendapat keyakinan tersebut berdasarkan aksi positif yang dipamerkan pada saingan Varsity Track & Field (VTF) Siri 1 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) hujung minggu lalu.
Pada kejohanan tersebut, atlet kelahiran Sarawak itu melakukan lontaran sejauh 18.32 meter (m), hanya kurang 0.07m dengan rekod kejohanan yang dilakukan tahun lalu selain dibezakan 0.46m dengan rekod kebangsaan miliknya.
“Saya bersyukur kerana tahun lepas saya melakukan balingan 17.11m pada kejohanan pertama, jadi sudah ada banyak peningkatan dan saya anggap ini merupakan pembukaan musim terbaik untuk saya.
“Ini (VTF) merupakan persediaan yang baik sebelum saya ke Mokpo dua minggu lagi. Di sana nanti tidak tahu apa akan berlaku kerana ramai pesaing hebat tetapi saya sedia untuk berikan yang terbaik,” katanya.
Jonah yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 membuktikan kehebatan biarpun empat daripada enam lontarannya batal, namun bangkit mencatat 18.12m dan 18.32m dalam dua percubaan terakhir.
Lontaran tersebut membolehkan penuntut Universiti Malaya itu memastikan pingat emas menjadi miliknya dengan perak dimenangi atlet Universiti Kebangsaan Malaysia, Nathaniel Majid (14.43m) manakala Wan Muhammad Irfan Wan Mohd. Tahar (13.57m) dari Universiti Putra Malaysia meraih gangsa.
Sementara itu, Jonah akan bersama 11 lagi atlet kebangsaan termasuk Nani Sahirah Maryata, Queenie Ting Kung Ni dan Grace Wong Xiu Mei bakal menggalas cabaran negara pada Kejohanan Balingan Mokpo nanti. – KOSMO! ONLINE














