GEORGE TOWN – Belum pun musim durian benar-benar memuncak, kehangatan raja buah itu terutama di Balik Pulau sudah mula terasa apabila ramai yang sanggup berebut giliran semata-mata mahu menjadi individu terawal menikmati buah ‘mula’.
Malah, ada juga penggemar durian yang nekad meredah bukit-bukau untuk pergi ke dusun di Balik Pulau dengan harapan berpeluang menjamah buah pertama pada musim ini.
Peniaga durian, Johan Abu Bakar, 42, berkata, dia kini tidak menang tangan menerima tempahan daripada peminat durian yang bukan sahaja dari daerah ini, malah ada pelanggan yang sanggup datang dari Kuala Lumpur, Ipoh dan Perlis.
Menurutnya, kebanyakan peminat tegar raja buah ini sanggup membuat tempahan awal meskipun buah durian masih di atas pokok.
“Ketika ini, buah pertama yang luruh sejak minggu lalu ialah durian Capri, 604, Lipan dan Kacang Hijau.
“Bagaimanapun, kami belum memulakan operasi jualan buah di atas meja atau di kedai secara langsung.
“Bayangkan, setiap hari kami terima panggilan daripada pelanggan, mereka berkali-kali minta simpan buah dan cepat-cepat buat bayaran supaya tidak terlepas ke tangan orang lain.
“Semalam (kelmarin), ada pelanggan dari Kuala Lumpur sanggup datang waktu malam semata-mata mahu menikmati buah durian. Mereka antara orang jauh yang makan durian awal Balik Pulau,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Johan memberitahu, ada juga pelanggan yang dikatakan sudah memohon cuti daripada majikan semata-mata merancang untuk berkunjung ke Balik Pulau pada bulan depan.
“Pelanggan beritahu saya yang mereka hanya menunggu waktu gerai dibuka dan tidak sabar untuk datang beramai-ramai ke sini,” ujarnya.
Dakwa Johan lagi, pelanggan yang berpeluang menikmati durian ‘mula’ Balik Pulau dianggap sebagai individu paling bertuah memandangkan jualan buah asli dari daerah itu masih kurang di pasaran.
“Setiap varieti buah yang luruh tidak sampai lima biji sehari. Mereka yang berpeluang makan awal boleh dikategorikan sebagai pelanggan bertuah,” katanya.
Tambahnya, durian 604 kini dijual antara RM25 hingga RM28 bagi setiap kilogram, Capri (RM30-RM35), Lipan (RM25 hingga RM30) dan Siow Hong (RM30 hingga RM35).














