SEBERANG PERAI – Usaha memupuk kesedaran dan integriti dalam kalangan pelajar terus diperkasa menerusi Program Wira Anti Rasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah dilaksanakan sejak 2014.
Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk S. Karunanithy berkata, program itu bertujuan mendidik generasi muda mengenai bahaya rasuah serta membentuk mereka menjadi agen pencegahan sejak di bangku sekolah.
“Program ini dilaksanakan secara tahunan di setiap negeri dengan pemilihan sekolah dibuat secara berperingkat.
“Program ini bertujuan mendidik anak-anak kita dari kecil lagi berkaitan rasuah dan pencegahan supaya mereka menjadi wira dalam usaha-usaha mencegah rasuah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wira Anti Rasuah (WAR) Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan St. Mark di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan inisiatif Kedai Jujur di sekolah di negeri ini sebagai pendekatan praktikal dalam membentuk nilai integriti dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, konsep Kedai Jujur yang tidak mempunyai penjaga membolehkan pelajar mengambil barangan dan membuat bayaran sendiri, sekali gus menjadi platform pendidikan nilai amanah secara langsung.
“Jika berlaku kehilangan, ia boleh dijadikan indikator kepada pihak sekolah untuk menekankan isu integriti kepada pelajar. Inisiatif ini telah dilaksanakan di Sabah melibatkan kira-kira 20 sekolah dan diharap dapat diperluaskan ke negeri lain termasuk Pulau Pinang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














