KUALA LUMPUR – DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech) mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai syarikat pertama dalam industri pertahanan yang dianugerahkan Sijil Pematuhan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).
Pengiktirafan kepada anak syarikat DRB-HICOM Berhad itu memberikan jaminan bebas terhadap integriti, tadbir urus, dan kerangka pematuhan.
Sijil berkenaan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Deftech, Mohammad Shanaz Mohammad Shees, bersempena dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026.
Menurut beliau, pensijilan tersebut memberikan jaminan bahawa syarikat melaksanakan langkah-langkah pematuhan yang sejajar dengan standard integriti yang diiktiraf.
Beliau berkata, tadbir urus yang kukuh adalah pemboleh daya utama bagi pertumbuhan mampan dan perkongsian jangka panjang.
“Tujuan salah satu tujuan kami mendapatkan sijil pematuhan ini adalah untuk memberitahu semua orang bahawa mereka perlu yakin untuk berurusan dengan Deftech.
“Ini membuktikan bahawa syarikat kami sangat fokus terhadap integriti dan menekankan etika kelakuan serta kebertanggungjawaban organisasi,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sijil berkenaan di reruai Deftech di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa, di sini hari ini.
Turut hadir menyampaikan sijil tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim.
Sementara itu, Noridah berkata, pencapaian Deftech merupakan pengiktirafan penting terhadap kerangka integriti korporat mereka yang mantap dan berkesan.
“Sebagai satu-satunya syarikat berkaitan pertahanan Malaysia yang mencapai pensijilan ini, Deftech menetapkan penanda aras baharu untuk standard integriti di dalam industri.
“Pensijilan perintis ini adalah susulan daripada penilaian bebas dan berstruktur yang telah dijalankan sepanjang tahun 2025, di mana Deftech secara sukarela menyerahkan dasar serta mekanisme kawalan dalamannya untuk dinilai di bawah kerangka CISM,” ujarnya.
Untuk rekod, CISM merupakan rangka kerja integriti, tadbir urus dan anti-rasuah yang dipelopori oleh Meja Bulat CISM bagi membantu organisasi mematuhi Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE














