fbpx
Anggota polis membawa Mohd. Rozi (tiga dari kiri) dan Solim untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Dua tekong darat didakwa seludup 12 PATI Myanmar, Bangladesh guna Perodua Bezza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Dua tekong darat termasuk seorang lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh dengan menggunakan sebuah kereta di Tumpat dekat sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Rozi Isa, 48, dan Solim Sultan Amin, 31, yang merupakan pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Bagimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes melibatkan penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa menyeludup seramai 12 warga Myanmar dan Bangladesh dengan menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di kawasan semak Kampung Telaga Bata, Chabang Empat dekat Tumpat kira-kira pukul 11 malam pada 25 Mac lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan Mohd. Rozi dan Solim diikat jamin kerana jaminan bagi kes tersebut perlu dimohon di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN