KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan kes buli melibatkan anak pelakon Ako Mustapha.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
“Setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, Ako berang apabila anaknya, Mikael Iskandar yang berusia 10 tahun mengalami kecederaan selepas didakwa dibuli di sekolah dengan kejadian dipercayai berlaku semalam.
Menerusi perkongsian di Threads, Ako mendakwa anaknya dibuli pelajar senior dan rakan sekelas dengan kesan tumbuk selain dipijak pada bahagian badan.
Perkara itu didedahkan Mikael kepada bapanya sebelum melaporkan perkara tersebut kepada guru kelas dan pihak berwajib.
Katanya, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE














