fbpx
Penjelasan yang dikeluarkan pihak kedai berhubung isu penukaran bateri kalkulator.

Caj RM30 hanya untuk upah, bateri kalkulator percuma – Factory Mobile

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Susulan kecaman hebat berhubung isu caj RM30 bagi penukaran bateri kalkulator menggunakan bateri daripada alat kawalan jauh (remote), pihak kedai tampil memberikan penjelasan balas bagi meredakan kekeliruan orang ramai.

Menerusi satu hantaran di media sosial, pemilik akaun Factory Mobile menjelaskan bahawa caj RM30 yang dikenakan kepada pelanggan hanya merangkumi upah kerja membaiki kerosakan kalkulator akibat dimasuki air.

Menurutnya, bateri yang digunakan dalam pembaikan kalkulator itu sebenarnya diberikan secara percuma kepada pelanggan tersebut.

“Ramai yang tuduh kami tukar bateri kalkulator RM30. Ini resit pelanggan. Bateri tu percuma je kami bagi. Servis masuk air dan lain-lain tu RM30,” jelasnya.

Dalam masa sama, pihak kedai turut memohon maaf sekiranya caj berkenaan dianggap membebankan segelintir pelanggan, namun menegaskan bahawa mereka telah memaklumkan terlebih dahulu mengenai kos tersebut sebelum kerja pembaikan dijalankan.

“Maafla kalau RM30 tu menyusahkan anda, kami banyak perut nak bantu dan kami dah bagitahu pelanggan surug datang ambik balik tunai kalau tidak berbaloi,” katanya.

Tambah pemilik akaun tersebut, pelanggan terbabit sudah hadir semula ke kedainya hari ini.

“Pemilik kalkulator dah datang, nak tengok video seterusnya yang betul?,” katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang pekerja kedai elektronik menggantikan bateri kalkulator seorang pelajar menggunakan bateri daripada alat kawalan jauh, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen yang mempersoalkan profesionalisme serta kadar caj dikenakan.

Bagaimanapun, dalam video berlainan, pekerja terlibat menjelaskan bahawa bateri yang digunakan masih baru meskipun diambil daripada alat kawalan jauh di kedai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN