PETALING JAYA – Majikan di negara ini disaran mempertimbangkan permohonan cuti pekerja bagi menunaikan ibadah haji, khususnya bagi mereka yang pertama kali mendapat peluang ke Tanah Suci.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kamal Pardi berkata, pekerja boleh menggunakan cuti tahunan untuk menunaikan ibadah haji dengan membuat permohonan kepada majikan.
Menurut beliau, sekiranya baki cuti tahunan tidak mencukupi, pekerja boleh memohon cuti tanpa gaji.
“Walaupun kelulusan cuti bergantung kepada budi bicara majikan, namun sebagai majikan prihatin, alasan diberikan pekerja perlu dipertimbangkan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, perkara itu lebih wajar diberi perhatian khusus sekiranya melibatkan ibadah haji kali pertama yang menjadi tuntutan penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang wanita warga emas sayu apabila terpaksa menunaikan haji bersendirian selepas suaminya tidak mendapat pelepasan cuti daripada majikan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Hasnah Ahmad, 60, berkata, pada mulanya dia bersyukur se lepas rayuannya untuk menunaikan haji pada tahun ini diluluskan oleh Tabung Haji (TH), namun bertukar sebak apabila mendapat tahu pasangannya, Rahman Hassan, 62, tidak dapat ikut serta ke Tanah Suci.
Katanya, suaminya yang bekerja di sektor swasta tidak dibenarkan bercuti selama 45 hari bagi menemaninya ke Mekah.
“Sedih memang ada, tetapi saya reda kerana ini adalah panggilan daripada Allah. Saya anggap ini rezeki dan peluang yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.














