PETALING JAYA – Usahawan sensasi Datuk Seri Vida menghadiahkan satu set iPhone 17 Pro Max kepada pelakon Azar Azmi berikutan keadaan telefonnya yang retak seribu.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 55, berkata, kejutan telefon bimbit baharu itu adalah untuk memudahkan aktres terbabit menjalankan bisnes atas talian bagi menjana pendapatan.
“Kenapa saya nak belikan telefon untuk dia? Sebab masa ‘live’ dengan saya, saya tengok telefon dia memang retak teruk. Telefon yang dia pakai pun pinjam.
“Saya terus rasa nak hadiahkan dia telefon baharu. Saya nak mudahkan kerja dia dengan ada telefon baharu.
“Saya pilih iPhone 17 Pro Max 512GB supaya senang dia buat kerja. Saya pilih apa yang saya suka untuk bagi dekat Azar,” katanya menerusi video yang dikongsikan di Instagram.
Menerusi video berkenaan, ditemani anaknya, Kacak serta Azar, Vida hanya memaklumkan mahu membeli telefon baharu untuk dirinya sendiri apabila membawa aktres terbabit ke premis jualan di sebuah pusat beli-belah.
Namun selepas menyerahkan telefon berkenaan, Azar dilihat terkejut dengan hadiah yang lengkap ‘casing’ mewah kerana tidak menyangka ia untuknya.
Pada masa sama, ahli perniagaan itu berharap hadiah tersebut dapat menggandakan semangat buat Azar untuk terus maju.
“Semoga Azar boleh melangkah lebih jauh, lebih hebat dan berjaya dengan adanya telefon yang boleh membantunya mencari rezeki dalam bidang online,” ujarnya
Di ruangan komen, ramai netizen turut bersimpati dengan nasib dialami pelakon terbabit, selain memuji kebaikan Vida.
“Azar bila dah berjaya jangan lupa tiga orang ini, Papa Laris (Datuk Seri Alif Syukri, Mama Laris (Datin Seri Shahida) dan Datuk Seri Vida,” tulis netizen. – KOSMO! ONLINE














