fbpx
Mohd. Jailani (kanan) bersama Noor Svetlana ketika hadir mengikuti prosiding kes anaknya, Muhammad Faiq di sebuah mahkamah di Jepun pada Khamis lalu.

Tahan sebak, bapa dihalang peluk Faiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Selepas menanti hampir enam bulan, seorang bapa akhirnya dapat menatap wajah anaknya, Muhammad Faiq Zafran Mohd. Jailani yang ditahan di Balai Polis Toyama, Jepun sejak November tahun lalu.

Mohd. Jailani Ambak, 52, melihat Muhammad Faiq Zafran, 24, sewaktu menghadiri prosiding kes anaknya itu di sebuah mahkamah di Jepun pada Khamis lalu.

Ketika itu, katanya, dia cuba mengawal emosi, perasaannya hancur dan jika ikutkan hati, mahu berlari memeluk anaknya itu untuk melepaskan rindu.

“Namun, saya akur tidak dibenarkan mendekati Faiq apatah lagi memeluknya. Apapun dapat melihatnya depan mata buat pertama kali sejak dia ditahan sudah cukup membuatkan saya lega.

“Saya tidak dapat menahan sebak melihat Faiq mengalir air mata sebaik menyedari keha­dirannya di kamar mahkamah.

“Sewaktu mengikuti prosiding itu barulah saya tahu kes Faiq baru disebut buat pertama kali pada 16 April lalu dan dakwaan dia telah mengaku salah sebelum ini rupanya tidak benar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, Muhammad Faiq dihadapkan atas tiga pertuduhan membabitkan penipuan jongkong emas di Tokyo, Osaka dan Toyama dan sebutan semula kes itu telah ditetapkan pada pertengahan minggu ini.

“Saya dan pasukan guaman akan berusaha untuk hadir. Saya boleh berada di Jepun hasil bantuan orang ramai yang diusahakan firma guaman milik Datuk Noor Svetlana Nordin,” katanya.

Mohd. Jailani berharap iste­rinya, Noor Zuhaini Ismail, 46, juga akan dapat ke Jepun pada masa terdekat bagi memberi sokongan terhadap anak mereka.

Setakat ini, isterinya tidak dapat berangkat ke negara Matahari Terbit tersebut ekoran keka­ngan kewangan,” katanya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan Muhammad Faiq yang juga graduan politeknik di Perlis dilaporkan hilang sejak November tahun lalu, rupa-rupanya ditahan pihak berkuasa Jepun kerana disyaki terlibat dalam kes peni­puan telefon.

Dia didakwa menjadi mangsa eksploitasi sindiket penipuan sebelum ditahan di Balai Polis To­yama Minami dengan rampasan wang tunai dianggarkan kira-kira empat juta yen (RM101,422.72).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN