PETALING JAYA – Satu rakaman kemalangan jalan raya yang tular di media sosial mengundang persoalan dalam kalangan orang ramai adakah pemandu kenderaan jenis Proton X70 leka menggunakan telefon bimbit ketika kejadian berlaku.
Kemalangan tersebut dilaporkan terjadi semalam kira-kira pukul pukul 2.55 petang di hadapan sebuah kafe di Jalan Keramat, Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Menerusi video tular dimuat naik @Keramattea di Thread, kelihatan Proton X70 yang datang arah belakang dibawa laju meski dua buah kenderaan di hadapannya dipandu secara perlahan seolah-olah bersedia untuk berhenti.
Proton X70 itu kemudiannya menghentam kenderaan dihadapannya, sekali gus mengakibatkan sebuah motosikal dan kenderaan lain di hadapan turut terkesan.
Penunggang dan pembonceng motosikal dilihat dihentam teruk sebelum tercampak je kenderaan hadapan dan terjatuh ke atas jalan raya.
“Semoga rakaman televisyen litar tertutup dari kafe kami dapat membantu pihak yang terlibat dalam urusan kemalangan. Semoga adik dan pak cik (penunggang motosikal) yang terlibat dipermudah urusan,” tulis pemilik video tersebut.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam pemandu Proton X70 itu yang dilihat seolah-olah bermain telefon kerana membawa laju meski kenderaan lain sudah berhenti.
“Mata mesti dekat telefon ni. Kaki tekan, mata kat telefon. Cuai, mohon saman,” komen Aizat.
“Gila, boleh mati tersepit macam tu, semoga dipermudahkan kesian penunggang motosikal dan adik yang membonceng tu,” tulis Sufian.
“X70 tu yang salah, tapi nampak dia macam nak salahkan kereta depan dia. Sebaik ada CCTV ni,” komen Yoppa pula. – KOSMO! ONLINE














