AMPANG JAYA – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan tegas dengan menyita sebuah premis yang didapati beroperasi tanpa lesen sah dalam operasi penguatkuasaan di Jalan Kolam Air, Melawati di sini.
Operasi kira-kira pukul 9 malam itu dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kelulusan.
Menurut MPAJ, tindakan sitaan itu dibuat bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa selain menjaga ketenteraman persekitaran perniagaan.
“Pelaksanaan tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MPAJ dalam membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen serta memastikan persekitaran perniagaan yang teratur dan selamat kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, MPAJ turut menjalankan pemantauan berkala terhadap pematuhan lesen penjaja di sekitar kawasan AU5.
Hasil pemantauan mendapati beberapa penjaja dikenakan kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, manakala penjaja berlesen didapati mematuhi syarat yang ditetapkan.
“MPAJ menyeru semua pengusaha dan penjaja agar mendapatkan lesen sah serta mematuhi syarat pelesenan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan aduan atau maklum balas melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam MPAJ atau talian bebas tol 1-800-22-8100. – KOSMO! ONLINE














