Kisah seorang gadis yang duduk di atas riba kekasihnya yang sedang memandu sebuah bas ekspres minggu lalu sebenarnya adalah gambaran bahawa ramai anak muda tidak berfikir panjang untuk melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang. Ia sama seperti geng merempit dan lumba haram. Mereka hanya fikirkan keseronokan.
Dalam kes gadis itu, pemandu tersebut dihukum penjara setahun dan denda RM10,000, manakala gadis itu dihukum penjara enam bulan dan denda RM5,000. Pemandu yang dikatakan sudah beristeri itu turut dibuang kerja oleh majikannya.
Hukuman itu nampak berat terutama terhadap gadis itu, namun disifatkan wajar dengan kesalahan yang dilakukan. Perbuatan mereka berdua jelas membahayakan nyawa puluhan penumpang dalam bas tersebut, selain melanggar norma dan nilai kesopanan masyarakat.
Apa yang menarik perhatian ialah semasa proses rayuan, gadis berasal dari Kedah itu mendedahkan yang dia memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiga tahun lalu. Dengan keputusan sebaik itu, tidak ada masalah untuk dia menyambung pengajian. Bagi kebanyakan kita, dengan keputusan seperti itu, kita pasti menyasarkan ke universiti terbaik.
Tetapi atas alasan tidak berkemampuan, gadis berasal dari Kedah itu memilih untuk ke ibu negara mencari kerja selepas neneknya meninggal dunia walaupun dia mengakui ada mendapat tawaran belajar.
Tidak pasti sama ada dia sudah benar-benar sedar akan kesilapannya dan berhasrat untuk menyambung pelajaran atau itu hanya alasan dalam rayuan untuk melepaskan diri. Harap-harap dia sudah insaf.
Mahkamah sudah pun membuat keputusan dan dia perlulah menjalani kehidupan di penjara untuk enam bulan akan datang. Dalam usia semuda itu, berdepan hukuman penjara bukan satu perkara yang mudah. Sudah terbiasa hidup bebas, tiba-tiba terkurung dengan peraturan yang ketat.
Selain kesalahan pertama, latar belakang keluarga termasuk tinggal bersama nenek sejak bayi dan tiada bimbingan menjadi punca dia hanyut dalam kehidupan di ibu negara. Keputusan mahkamah itu adalah rahmat, tanda Tuhan masih sayangkan dia. Justeru, dia wajar diberikan peluang kedua memperbaiki diri dan menyambung pelajaran seperti yang dihasratkan.
Saya yakin peluang kedua membolehkan seseorang memperbaiki diri mengubah hidup, belajar dari khilaf dan pengalaman untuk bangkit semula untuk masa depan yang lebih baik. Ramai yang sudah berjaya selepas diberikan peluang kedua.
Harap ada pihak yang mahu membantu gadis tersebut merayu keputusan mahkamah itu dan diberikan mendapat hukuman yang lebih ringan seperti berkelakuan baik untuk satu tempoh tertentu. Tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesalahan. Kalau main video game pun, kita diberi tiga ‘nyawa’.
Itu menunjukkan kebanyakan manusia memang perlu lebih dari satu peluang dalam hidup ini.
Dalam buku Peluang Kedua, penulisnya Izzad Daniel mengungkapkan ‘kesilapan bukanlah awal yang buruk dan juga bukan pengakhiran dalam hidup.’














