TUMPAT – Dua remaja perempuan yang dipercayai berperanan sebagai pengintip kepada tekong darat untuk menjalankan kerja-kerja mengangkut seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam serbuan di Bandar Baru Pasir Pekan, di sini semalam.
Kedua-dua remaja berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.05 pagi semasa sedang sebuah menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua remaja itu diberkas selepas anggota PGA menahan seorang tekong darat yang membawa seramai sembilan PATI di kawasan tersebut.
Menurutnya, salah seorang remaja yang ditahan mengaku dia berperanan sebagai ‘riki jalan’ atau pengintip bagi membantu urusan penghantaran PATI dengan menerima bayaran sebanyak RM 150 daripada tekong darat tersebut.
“Seorang lagi remaja itu pula memaklumkan bahawa dia menemani rakannya ketika mengintip sebelum urusan penghantaran kesemua PATI dijalankan.
“Pemeriksaan ke atas telefon bimbit salah seorang perempuan itu mendapati ada komunikasi antara remaja tersebut dengan tekong darat berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, sebelum kedua-dua remaja itu ditahan, PGA menahan kereta jenis Iswara Aeroback di kawasan tersebut kira-kira pukul 5 pagi.
Menurutnya, semasa risikan dijalankan, anggota PGA menahan kereta tersebut yang berhenti di belakang sebuah kedai di kawasan Bandar Baru Pasir Pekan, di sini.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, seorang lelaki berusia 24 tahun membawa enam warga Bangladesh yang mempunyai pasport, tetapi tidak mempunyai pas lawatan untuk memasuki Malaysia manakala tiga lagi PATI Myanmar pula tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan mendapati, kesemua PATI itu disyaki masuk ke negara ini secara haram melalui sempadan Thailand,” ujarnya.
Beliau berkata, berdasarkan soal siasat, tekong darat itu mengaku akan menghantar PATI tersebut dari Kampung Laut ke Wakaf Bharu, di sini sebelum mereka akan diambil oleh individu lain yang tidak dikenali.
Menurutnya, lelaki itu turut mendedahkan urusan tersebut diatur oleh individu bernama ‘Jef’ yang tinggal di Thailand dan menerima upah sebanyak RM100 untuk setiap seorang PATI yang dibawa.
Tambahnya, ujian saringan air kencing terhadap tekong darat itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. – KOSMO! ONLINE














