fbpx
BERTAM Resort diuar-uarkan sebagai resort atau pusat penginapan di Malaysia pertama menawarkan belon udara panas sebagai tarikan tetap sepanjang tahun.

Belon udara panas jadi tarikan tetap resort

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT berada pada ketinggian kira-kira 30 meter di ruang udara, matanya tertancap melihat keindahan pemandangan yang merentangi seluruh kawasan di sekitar Bertam, Pulau Pinang.

Dari kejauhan, dapat dilihat teguhnya berdiri Gunung Jerai yang diliputi kabus pagi dan apabila menoleh berdekatan, Pulau Pinang yang dipenuhi bangunan pencakar langit jelas dalam tatapan.

Ia merupakan pengalaman pertama buat pempengaruh, Madan Suzali, menaiki belon udara panas yang menjadi tarikan istimewa di Bertam Resort dan Water Park Penang yang juga menjadi resort atau pusat penginapan pertama di Malaysia yang menyediakan aktiviti tersebut.

Tidak perlu lagi kita terbang sehingga ke Cappadocia, Turkiye atau menanti festival-festival besar di Malaysia, pengalaman seumpamanya dapat dinikmati sebagai satu tarikan tetap yang ditawarkan.

Menurut Madan, menaiki belon udara panas memberikan pengalaman berbeza buat dirinya yang mengakui agak takut untuk menaikinya.

“Saya agak teruja apabila diberi peluang untuk menaiki belon udara panas, namun awalnya agak takut setelah melihatnya sendiri di hadapan mata.

“Namun, selepas mendapat taklimat daripada kakitangan resort dan setelah berada di atas awan, ketakutan itu menjadi rasa gembira, seolah saya sedang terbang di langit biru,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa usai menaiki belon udara panas di Bertam Resort dan Water Park Penang, Pulau Pinang baru-baru ini.

Tambahnya, melihat landskap persekitaran dari aras tinggi memberi satu ketenangan yang tidak dapat diungkapkan, malah berada terapung tempat tinggi di dalam bakul anyam adalah suatu pengalaman yang unik.

Tarikan belon udara panas kini boleh dikatakan semakin mendapat tempat dalam industri pelancongan Malaysia, bukan sahaja sebagai aktiviti rekreasi tetapi juga sebagai pengalaman visual yang unik dan ‘instagrammable’.

Menjadi salah satu lokasi yang memperkenalkan pengalaman ini, selain pihak-pihak tertentu di negara ini yang menawarkan aktiviti sebegini secara persendirian atau berkala, Bertam Resort & Water Park Penang menawarkan konsep santai dan mesra keluarga dengan elemen pelancongan moden.

Menurut Pengurus Besar Bertam Resort dan Water Park Penang, Fadzil Ibrahim, tarikan ini mengambil inspirasi daripada Cappadocia, namun dengan konsep tethered hot air balloon iaitu belon yang diikat dan naik secara menegak (tidak terbang bebas).

Konsep ini dilihat lebih sesuai dengan persekitaran Malaysia dari segi keselamatan dan kawalan ruang udara.

Madan (kanan) teruja terbang ke udara sambil menikmati persekitaran dari kedudukan tinggi.

“Resort ini menawarkan tarikan hot air balloon eksklusif, satu-satunya di resort Malaysia.

“Pengalaman ‘rare’ ini dijangka menjadi tarikan baharu yang mampu menarik lebih ramai pelawat ke Pulau Pinang, khususnya bagi segmen keluarga dan staycation,” ujarnya.

Ditawarkan pada harga RM100 seorang, pengunjung boleh menikmati pemandangan panorama sekitar resort dari ketinggian kira-kira 30 meter selama lapan ke 10 minit dengan lebih selamat dan terkawal.

Aktiviti ini biasanya dijalankan pada waktu matahari terbit dan matahari terbenam, memberikan suasana dramatik dan romantik kepada pengalaman tersebut.

Menariknya, pengalaman ini sering digabungkan dalam pakej seperti ‘Stay & Fly’ yang menggabungkan penginapan dengan aktiviti belon udara panas, menjadikannya tarikan premium untuk pelancong domestik.

Selain itu, aktiviti ini juga bergantung kepada faktor cuaca, menjadikannya pengalaman yang eksklusif dan tidak boleh dijangka sepenuhnya.

Secara umumnya, landskap belon udara panas di Malaysia masih berada pada tahap tarikan acara dan pengalaman terhad dan belum berkembang sebagai industri pelancongan berskala besar seperti di Cappadocia atau Bagan, Myanmar.

Bagaimanapun, terdapat beberapa perkembangan penting yang menunjukkan potensi pertumbuhan segmen ini dalam sektor pelancongan tempatan.

Antara pemangkin utama populariti belon udara panas di Malaysia ialah penganjuran festival berskala besar seperti Putrajaya International Hot Air Balloon Fiesta.

Acara ini telah memainkan peranan signifikan dalam memperkenalkan pengalaman belon udara panas kepada masyarakat umum dengan kehadiran pelbagai belon berwarna-warni dan berbentuk unik yang menarik ribuan pengunjung setiap tahun.

Festival sebegini bukan sahaja mencipta pengalaman visual yang menarik, malah mengukuhkan imejnya sebagai salah satu acara pelancongan ikonik negara.

Dalam masa sama, industri ini mula menunjukkan peralihan dari konsep acara bermusim kepada pengalaman komersial yang lebih berterusan.

Inisiatif seperti yang diperkenalkan oleh Bertam Resort dan Water Park Penang membuktikan bahawa belon udara panas kini diangkat sebagai produk pelancongan tetap yang boleh dinikmati sepanjang tahun.

Pendekatan ini mencerminkan strategi baharu dalam menarik pelancong dengan menawarkan pengalaman eksklusif yang lebih tersusun dan mudah diakses.

Dari aspek keselamatan, pengendalian belon udara panas sentiasa menjalani pemeriksaan rapi sebelum beroperasi membawa pengunjung ke langit biru.

Setiap peralatan akan menjalani pemeriksaan berkala serta status pengunjung juga sentiasa disemak bagi memastikan kondisi kesihatan mereka sesuai untuk menaiki belon udara panas.

Menurut juruterbang belon udara panas, Danial Mohamed Iqbal, 23, aspek keselamatan menjadi perkara penting dalam setiap penerbangan meskipun belon tidak terbang bebas.

“Selain aspek keselamatan peralatan dan kondisi penumpang, faktor cuaca tropika yang tidak menentu, termasuk angin dan hujan, sering menjadi cabaran utama.

“Selain itu, peraturan ruang udara yang ketat serta kekurangan kawasan luas yang sesuai untuk penerbangan bebas turut mengehadkan operasi secara meluas. Justeru, kebanyakan pengendali memilih konsep ‘tethered’ iaitu

belon diikat dan hanya naik secara menegak sebagai alternatif yang lebih selamat dan praktikal dalam konteks tempatan,” kongsinya.

Katanya yang menjalani kursus juruterbang belon udara panas di Eropah, tarikan belon udara panas di Malaysia tetap mempunyai keunikan tersendiri dengan menekankan nilai pengalaman dan visual.

“Elemen ini menjadikan aktiviti belon udara panas sangat popular dalam kalangan pelancong domestik, pasangan dan keluarga, khususnya dalam era media sosial yang mengutamakan pengalaman visual yang menarik.

“Bagi saya, Malaysia berpotensi menjadi pusat tarikan belon udara panas di Asia kerana kita mempunyai pelbagai pemandangan menarik yang boleh dipaparkan kepada pelancong pada altitud tinggi sekali gus menjadi nilai tambah kepada tarikan pelancongan di negara ini,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN