fbpx
AWAL cenderung mengenakan pakaian rona hitam dan putih.

Awal elak penampilan selekeh, tak pakai selipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENAMPILAN yang kemas dan kebersihan diri menjadi keutamaan buat selebriti versatil, Awal Ashaari saat tampil di depan khalayak sama ada untuk acara rasmi atau urusan peribadi. 

Baginya, setiap yang dipakai di tubuh bukan sahaja perlu selesa, malah sedap mata memandang seiring dengan statusnya sebagai seorang anak seni. 

Kata Awal,  25 tahun mengabdikan diri dalam industri hiburan membuatnya sentiasa peka soal pilihan pakaian kerana takut untuk tampil ‘selekeh’ ketika berada di luar rumah.

Malah pelakon I’m Not Single itu mengakui agak terbeban memikul gelaran ikon fesyen sejak beberapa tahun lalu. 

“Gelaran ikon fesyen itu agak terbeban juga sebab orang sudah mula mengikut penampilan saya, jadi saya tidak boleh tampil selekeh. 

“Sebab nanti orang akan menilai atau mungkin mengata tidak sesuai menjadi ikon fesyen. 

“Jadi, kalau saya hendak keluar rumah seperti ke kedai pun, kena bersiap dengan pakai kasut bersama stokin. Saya tidak pernah pakai selipar. 

“Saya sudah terbiasa dengan perkara itu, dan anggap ia sebagai satu norma sebelum keluar rumah,” kongsinya kepada CitaRasa baru-baru ini. 

Bagi penampilan yang sederhana, Awal lebih senang tampil dengan gaya ringkas seperti mengenakan padanan kemeja-T (tanpa kolar) bersama seluar jean atau seluar pendek (terutama ketika cuaca panas) dan sneakers. 

AWAL selesa memakai kasut dan stokin, biarpun untuk ke kedai.

Bercerita soal gaya, Awal mengakui tertarik dengan pesona pempengaruh antarabangsa di media sosial tanpa mengira sama ada popular atau tidak. 

“Saya banyak lihat dan ikut gaya di Instagram, tidak mengira sama ada individu itu popular atau tidak. 

“Sekarang ini, saya suka dengan gaya Hudson William kerana penampilannya lebih santai, bersahaja dan kena dengan bentuk badan.

“Saya juga suka gaya jalanan Jepun yang longgar seperti baggy, polos dan mudah digayakan,” ujarnya. 

Memiliki pesona tersendiri dalam industri fesyen, Awal tidak menafikan isterinya, Scha Al-Yahya banyak membantu dan menasihati soal pilihan warna pakaian. 

Ini kerana Awal ada rabun warna. Sebagai pilihan selamat, dia lebih cenderung memilih pakaian warna biru gelap, hitam dan putih.

 “Saya mungkin kerap memakai pakaian hitam dan putih kerana takut untuk eksperimen warna kerana kadangkala saya tidak nampak pun. 

“Scha selalu membantu saya dengan menasihati gabungan warna yang tepat untuk saya gayakan. 

“Tidak dinafikan sejak berkahwin, Scha orang yang paling banyak membantu dan menasihati saya pasal gabungan warna,” kongsinya. 

 Lumrah menjadi anak seni, bukan sahaja penampilan serta gaya yang sering menjadi perhatian, sebaliknya keadaan fizikal juga memainkan peranan penting. 

Menjengah usia 45 tahun, Awal menjadikan rutin penjagaan wajah sebagai salah satu usaha untuk melambatkan proses penuaan.

AWAL kelihatan seperti muda remaja, walaupun sudah menjengah usia 45 tahun.

Bukan mengharapkan untuk melawan takdir, namun bagi Awal, rutin penjagaan wajah, kesihatan dan penampilan membuatkan perjalanan penuaan seseorang itu kelihatan lebih semula jadi. 

“Sepanjang bergelar artis, kerjaya ini membuatkan saya sentiasa belajar untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih baik.

“Apabila bergelar selebriti, saya tidak mahu orang berjumpa dalam keadaan kita ada masalah bau badan, peminat tengok kuku panjang atau tidak bersiap. 

“Sejujurnya, saya seorang yang mempunyai rutin dalam penjagaan wajah dan kebersihan diri. 

“Jadi sebelum tidur, saya akan pastikan wajah akan dicuci dan memakai krim rawatan sebelum tidur. 

“Disebabkan sudah menjadi kebiasaan, saya akan mengambil masa yang sedikit lama di tandas.

“Ia bagi penjagaan wajah agar proses ‘matang’ itu berjalan perlahan berbanding sepatutnya. 

“Peningkatan usia merupakan satu perkara yang tidak dapat kita elak bagi setiap manusia.

“Namun dengan beberapa langkah seperti penjagaan wajah, kesihatan dan penampilan, kita akan kita kelihatan lebih muda, walaupun sudah tua. 

“Kita meraikan peningkatan usia secara positif, dan saya tidak terfikir untuk melakukan ‘tarik muka’ sampai tegang.

“Saya tidak mahu melawan takdir, sebaliknya membiarkan proses penuaan itu berlaku secara semula jadi,” katanya sebelum menutup bicara. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN