PETALING JAYA – Dalam krisis ketidaktentuan ekonomi global, Planworth Global Factoring Sdn Bhd, peneraju terbesar dan No.1 dalam pembiayaan alternatif serta pembiayaan rantaian bekalan di Malaysia, tampil memperuntukkan dana pembiayaan sehingga RM1 bilion pada tahun ini bagi menyokong syarikat yang terlibat dalam pelaksanaan projek berasaskan tender, merangkumi sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
Tekanan akibat kenaikan harga bahan api, kos logistik serta gangguan rantaian bekalan global telah memberi kesan langsung kepada aliran tunai syarikat, khususnya bagi projek yang memerlukan perbelanjaan awal yang tinggi sebelum bayaran diterima.
Langkah ini dilihat tepat pada masanya memandangkan kebanyakan syarikat yang mempunyai projek berdepan cabaran aliran tunai, terutamanya apabila tempoh bayaran projek lazimnya mengambil masa antara 30 hingga 90 hari.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Andy Kuek berkata, cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat hari ini bukanlah kekurangan peluang projek, tetapi kekangan aliran tunai untuk memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Banyak syarikat mempunyai projek yang kukuh, namun berdepan kesukaran daripada segi aliran tunai untuk mula dan meneruskan kerja. Dalam keadaan kos yang semakin meningkat, keupayaan untuk mengurus aliran tunai menjadi faktor penentu sama ada projek dapat diteruskan atau sebaliknya,” katanya.
Andy berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan hari raya Aidilfitri Planworth 2026 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Mohamad Alamin.
Dalam pada itu, Andy berkata, dalam landskap ekonomi semasa, peranan institusi pembiayaan menjadi semakin kritikal bagi memastikan projek tidak terbengkalai dan dapat disiapkan mengikut jadual.
“Di Planworth, kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi berperanan sebagai rakan strategik kepada pelanggan kami, bermula dari peringkat tender sehingga projek disiapkan sepenuhnya.
“Kami menyediakan sokongan kewangan yang menyeluruh bagi setiap fasa projek, daripada penyertaan tender, pelaksanaan kerja, sehinggalah bayaran diterima,” ujarnya.
Bagi tahun 2026, Planworth meningkatkan peruntukan dana pembiayaan kepada RM1 bilion, berbanding RM700 juta tahun lalu, bagi menyokong lebih banyak syarikat dalam pelaksanaan projek berskala sederhana hingga besar merentas pelbagai industri.
Sehingga kini, Planworth telah menyokong ribuan syarikat projek di seluruh negara dengan jumlah pembiayaan bernilai berbilion ringgit. Diiktiraf melalui pelbagai anugerah industri, Planworth terus memperkukuh reputasinya sebagai rakan pembiayaan yang diyakini dalam menyokong pelaksanaan projek di seluruh negara.














