fbpx
CHE MURAD menjelaskan mengikut statistik JKM, antara faktor yang mendorong golongan gelandangan berada di bandar besar seperti Kuala Lumpur ialah ketiadaan pekerjaan, pendapatan rendah, kemiskinan.

Semua pihak perlu lebih serius tangani isu gelandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Isu gelandangan di ibu kota kini semakin sukar dikawal apabila pelbagai kelompok dengan latar belakang berbeza mula membanjiri jalanan, sekali gus merumitkan tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan mendedahkan, keadaan itu tidak lagi tertumpu kepada golongan ‘orang papa’ semata-mata, sebaliknya me­libatkan pelbagai kategori yang berada di luar bidang kuasa penuh JKM.

Menurut beliau, kekangan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183) menyebabkan JKM hanya boleh mengambil tindakan terhadap individu yang memenuhi definisi tertentu, sedangkan realiti di lapangan jauh lebih kompleks.

“Keadaan ini menjadikan usa­ha mengawal gelandangan semakin mencabar kerana ia turut melibatkan bukan warganegara, pemegang kad UNHCR, individu berpenyakit mental, pesakit kronik atau berjangkit, penagih dadah, penghidu gam serta mereka yang mabuk alkohol.

“Malah kewujudan individu yang mengutip derma tanpa kelulusan turut memburukkan lagi situasi di jalanan.” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Che Murad berkata, berdasarkan statistik JKM, antara faktor yang mendorong golongan ini berada di bandar besar seperti Kuala Lumpur ialah ketiadaan pekerjaan, pendapatan rendah, kemiskinan, tiada tempat tinggal, dibuang keluarga, masalah kesihatan mental, isu kesihatan, penagihan dadah serta status bekas banduan.

Jelas beliau, kerajaan kini bergerak untuk merombak pendekatan sedia ada apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Pasukan Teras bagi menggubal akta baharu menggantikan Akta Orang-Orang Papa 1977.

Tambahnya, langkah itu bertujuan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) lebih re­levan dapat diwujudkan selaras dengan situasi semasa, susulan kajian semakan semula akta tersebut yang dilaksanakan dari September 2022 hingga Disember 2023 oleh Unit Perundingan Universiti Malaya melalui peruntukan ­Majlis Sosial Negara.

Laporan muka depan Kosmo! kelmarin mendedahkan, gelandangan di ibu negara amat membimbangkan apabila me­ningkat antara 20 hingga 30 peratus setiap tahun, sekali gus membuktikan tekanan sosial di bandar raya semakin meruncing.

Kebanyakan individu itu bukan berasal dari Kuala Lumpur, sebaliknya berhijrah dari Sabah, Sarawak, Kelantan, Pe­rak serta Johor dengan harapan mencari pekerjaan untuk membina kehidupan lebih baik sebelum ak­hir­nya terperangkap dengan realiti kehidupan bandar sehingga terpaksa merempat di kaki lima dan lorong gelap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN