fbpx
Coe di DSH2, Kuala Lumpur merupakan salah satu lokasi ideal untuk membantu pemulihan pesakit strok.

‘Waktu emas’ yang mampu selamatkan anda daripada lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

STROK boleh berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak terganggu, tersumbat atau berkurangan hingga menyebabkan tisu otak kehilangan oksigen dan nutrien. Situasi ini boleh mendorong sel-sel otak mati dalam beberapa minit.

Oleh itu, rawatan segera sangat penting terutama ketika ‘masa emas’ (golden hour) iaitu kosong hingga 4.5 jam pertama selepas gejala strok bermula untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko lumpuh kekal.

Menurut Perunding Perubatan Dalaman dan Pakar Neurologi di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2), Prof. Madya Dr. Teh Pei Chiek, ramai orang tidak tahu akan maklumat penting yang boleh selamatkan nyawa dan masa depan pesakit strok.

“Jika ada gejala serangan strok, terus bawa pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana setiap saat sel-sel otak akan musnah. Malangnya, ia tidak boleh dipulihkan kembali.

“Sebab itulah, pesakit perlu dirawat segera, tetapi disebabkan kekurangan maklumat mengenai hal ini, ada yang tunggu dulu dan berehat sehingga gejala strok reda,” katanya.

Beliau ditemui ketika majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok (CoE) di DSH2, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Dr. Pei Chiek, apabila sampai di hospital, pesakit akan menerima dua rawatan kecemasan iaitu diberikan ubat cair darah untuk menghancurkan darah beku kerana 85 peratus strok disebabkan darah beku di otak.

Namun, ubat cair darah tidak boleh diberikan sembarangan terutama pesakit yang mengalami pendarahan dalam otak kerana ia sangat berbahaya.

DR. PEI CHIEK

Ujarnya, sebanyak 85 peratus strok datang daripada penyumbatan di saluran darah berbanding pendarahan.

“Rawatan kedua pula adalah membuat pembedahan secara minimum invasif (tebukan kecil) sama ada di pangkal paha atau tangan dengan memasukkan tiub ke dalam saluran darah untuk mengeluarkan darah beku.

“Namun harus diingat, kedua-dua rawatan ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh 4.5 jam itu sehingga paling lewat pun 24 jam. Sebab itu masa sangat sensitif untuk menyelamatkan pesakit strok. Selepas itu pesakit akan lumpuh.

“4.5 jam pertama adalah masa terbaik untuk mengelak risiko lumpuh,” katanya.

Tambah beliau, kebanyakan pesakit strok menjadi lumpuh dan memerlukan bantuan orang lain untuk urusan keperluan seharian, manakala 20 hingga 30 peratus boleh sembuh dan kembali bekerja.

“Lebih membimbangkan, saya melihat pesakit strok dalam kalangan orang muda semakin meningkat, bagaimana dengan masa depan mereka sekiranya mengalami lumpuh?”

“Jika dahulu, rata-rata pesakit strok berumur 60 tahun ke atas, tetapi kini terdapat peningkatan umur 40 tahun ke atas. Oleh itu, kami mahu memberi kesedaran sebanyak mungkin mengenai masa untuk bertindak supaya pesakit-pesakit ini boleh kembali bekerja dan menjalani hidup normal,” tuturnya.

Paling mudah untuk orang ramai mengenali gejala awal serangan strok adalah dengan menggunakan formula BEFAST (keseimbangan, mata, wajah, lengan, pertuturan dan masa)

Terang Dr. Pei Chiek, mereka yang diserang strok akan hilang keseimbangan, penglihatan menjadi kabur atau berganda, muka senget atau jatuh, lengan lemah atau kebas, percakapan jadi pelat atau gagap.

Jika ada tanda-tanda ini, berkejar ke hospital untuk dapatan rawatan segera.

Mengulas punca terjadinya strok dalam kalangan orang muda, dia memaklumkan, ia boleh berlaku disebabkan diet pemakanan tidak sihat, persekitaran kerja stres, gaya hidup tidak sihat dan tidak cukup tidur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN