JOHOR Darul Ta’zim (JDT) harus mengelak sikap merendah diri dan kekal dengan kemahuan besar bagi melakar kejutan ke atas Al-Ahli pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Elit (ACLE) di Stadium King Abdullah Sports City, malam ini.
Mengambil kira reputasi besar dan kelebihan bermain di negara sendiri, Al-Ahli pastinya berdepan lebih banyak tekanan berbanding Harimau Selatan yang kini muncul dua wakil kelab Asia Tenggara di pentas suku akhir bersama Buriram United.
Di atas kertas, Al-Ahli memiliki barisan pemain berprofil tinggi serta pengalaman luas di pentas Asia namun, JDT tidak boleh dipandang rendah kerana sudah terbukti tidak hanya hadir sebagai pelengkap jadual.
Pengendali JDT, Xisco Munoz tidak dapat menyembunyikan rasa gembira kerana mampu memacu kemaraan pasukan, namun mengakui kejayaan tersebut hadir daripada kerja keras semua orang dalam pasukan.
“Salah satu perkara kami perlu ke sana (Jeddah) untuk menang dan ini adalah mentaliti kami. Kami tahu mereka adalah lebih baik tetapi kami juga kena beri yang terbaik, kami perlukan semua orang dan saya percaya semuanya sudah pun bekerja keras.
“Bapa saya sentiasa beritahu, jika kamu ada impian besar, kamu kena fikirkan tentangnya dan selepas itu kita akan lihat. Mungkin ia (kejayaan) akan hadir, mungkin juga tidak, tetapi kami kena berikan semaksimum yang mungkin,” katanya.
Munoz juga menjelaskan perkara paling utama adalah memahami objektif dan memastikan seluruh pasukan berada dalam keadaan bersedia untuk berdepan apa juga situasi.
“Paling penting adalah untuk memahami ia adalah perkara penting untuk kami dan apa yang kami perlu lakukan adalah bersiap untuk berdepan lawan sukar dan memiliki pemain berkualiti.
“Kami perlu kawal situasi dan adalah penting untuk kami berikan semaksimum mungkin, baca permainan dengan baik untuk cuba dapatkan peluang jaringkan gol dan memenangi perlawanan,” katanya.














