fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Pembantu kedai didakwa, anak lima tahun mengadu dipukul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pembantu kedai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak kandungnya berusia lima tahun sehingga mangsa mengalami kecederaan, minggu lalu.

Tertuduh, Haziq Amsyar Mohd. Hamka, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sewaktu kejadian didakwa telah mengabaikan atau mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan tersebut dilakukan kira-kira pukul 5.30 petang di sebuah unit kediaman di Residensi PR1MA Melaka Tengah 2, Jalan Pokok Mangga 18, Taman Pokok Mangga di dalam daerah Melaka Tengah, pada 9 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan kejadian itu terbongkar selepas mangsa, ketika berada di tabika kemas, telah mengadu dia dipukul oleh tertuduh dan menunjukkan kesan lebam-lebam di bahagian belakang badan, telinga kiri, kesan calar panjang di tangan dan terdapat pendarahan beku di kuku kiri.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh dilarang menganggu gugat mangsa, keluarga mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam A. Mathan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan yang rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan. Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 19 Mei depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN