TAMPIN – Biarpun terpaksa menolak tawaran belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan memilih ke sekolah menengah harian disebabkan mahu menjaga bapa sakit tidak melemahkan semangat seorang pelajar untuk cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.
Muhammad Zarif Akmal Mohd. Som, 18, memilih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas di sini memperoleh keputusan 9A dengan tujuh subjek A+, antaranya Prinsip Perakaunan, Ekonomi, Matematik dan Tasawwur Islam.
Dia sebelum ini terpaksa menolak tawaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab di Gemencheh, dekat sini disebabkan bapanya diserang strok separuh badan pada 2018.
Menurutnya, dia bergantung sepenuhnya kepada pembelajaran di dalam kelas kerana percaya setiap kata-kata guru adalah ‘mutiara’ ilmu serta fokus kepada tuisyen anjuran sekolah.
“Sebelum ini, jika rezeki saya di MRSM Ulul Albab saya pasang impian untuk menjadi ustaz, tapi masa itu bapa, Mohd. Som Ahmad, 55, kena strok. Jadi, saya perlu utamakan bapa serta keluarga untuk berada di rumah.
“Dua kali wakil MRSM datang pujuk saya, namun saya tak dapat nak teruskan. Kini, keadaan bapa bertambah baik dan saya akan rebut peluang untuk melanjutkan pelajaran sama ada di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau pun belajar dalam bidang perakaunan,” katanya di Kampung Sri Gemas, di sini semalam.
Ujarnya, dia membantu ibunya, Raja Azlin Raja Yahya, 52, menguruskan bapanya selepas pulang dari sekolah seperti makan, minum serta memotong kuku.
Raja Azlin berkata, dia berasa sangat bersyukur apabila anak kedua daripada tiga beradik itu mendapat keputusan cemerlang walaupun terdapat kekangan kesihatan ketua keluarga.
Katanya, mereka sekeluarga bergantung pendapatan dari pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, dia turut bersyukur anak sulungnya seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu Profesional universiti awam sudah diterima untuk bekerja di tempat latihan praktikalnya.
Ujarnya, anak ketiganya berada di tingkatan empat merupakan orang kurang upaya (OKU), pendengaran dan kini belajar di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi sekolah sama dengan abangnya sebelum ini.














