LUMUT – Seramai 57 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan polis daerah Manjung menerusi operasi-operasi yang dijalankan dalam tempoh dua minggu lalu di Segari dan Lekir dekat sini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, sepasukan anggotanya menumpaskan penyeludupan migran melibatkan seramai 40 orang PATI di sekitar kawasan Jalan Besar ke Batu Hilal di Segari, Manjung pada 4 April lalu.
“Dalam serbuan tersebut seorang perempuan Melayu warganegara Malaysia turut ditahan kerana bertindak sebagai ‘transporter’ kepada pati berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Atipsom 2007/Seksyen 26J Atipsom 2007/Seksyen 6(1)(c) Akta Imgresen 1559/63,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Hasbullah berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Marin Kg. Acheh mempergiat operasi membanteras PATI di daerah ini kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.
Beliau berkata, mereka berjaya menangkap 10 orang warganegara Indonesia yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah di kawasan pesisir pantai Kampung Sg. Lombong, Lekir.
“Seramai tujuh orang lagi warganegara indonesia telah ditangkap di lokasi yang berlainan pada hari yang sama,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis memandang serius dan tidak berkompromi pada mana-mana individu atau pihak yang melindungi PATI dan memastikan usahausaha membanteras sindiket berkaitan PATI sentiasa dilaksanakan.
“Orang awam boleh salurkan maklumat dan aduan berkenaan PATI kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau talian hotline WhatsApp 017-682 8005,” katanya. – KOSMO! ONLINE














