PETALING JAYA – Jabatan Penjara menafikan dakwaan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kenderaan pengiring dalam satu operasi penghantaran banduan ke mahkamah, semalam.
Menurut kenyataan jabatan itu, operasi pada 14 April tersebut melibatkan pergerakan konvoi dari Penjara Kajang ke beberapa lokasi mahkamah serta hospital sekitar Lembah Klang.
“Konvoi terdiri daripada dua buah bas dan sebuah van sebagai kenderaan pendahulu, dengan pergerakan dilakukan secara teratur menggunakan lampu mata arah dan siren bagi tujuan keselamatan serta pematuhan prosedur,” katanya hari ini.
Jelasnya, jarak antara kenderaan juga dikekalkan secara konsisten sepanjang perjalanan.
Bagaimanapun, satu insiden kerosakan teknikal melibatkan sebuah bas dilaporkan berlaku sejurus selepas konvoi bergerak.
“Susulan itu, kenderaan terlibat tidak dapat meneruskan perjalanan dan pegawai bertugas mengambil keputusan untuk meneruskan konvoi utama bagi memastikan penghantaran banduan ke mahkamah tidak terjejas,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pergerakan konvoi turut melibatkan pemisahan laluan yang dirancang apabila van pendahulu bergerak ke hospital, manakala bas pengiring meneruskan perjalanan ke mahkamah seperti dijadualkan.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan menegaskan tiada pelanggaran SOP berlaku dalam operasi tersebut kerana setiap tindakan diambil berlandaskan pertimbangan keselamatan, keutamaan operasi serta situasi semasa di lapangan.
“Jabatan Penjara sentiasa komited terhadap prinsip ketelusan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan prosedur,” katanya.
Tambahnya, semakan dalaman akan tetap dijalankan bagi menilai keseluruhan operasi dan memastikan tahap pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan imej serta integriti jabatan itu.- KOSMO! ONLINE














