JAKARTA – Kementerian Pertahanan Indonesia menolak dakwaan bahawa Amerika Syarikat (AS) mempunyai akses tanpa had ke ruang udara negara itu, dengan menegaskan bahawa ia kekal di bawah kawalan penuh Jakarta, lapor agensi berita ANTARA.
“Kementerian menegaskan bahawa kuasa, kawalan dan pemantauan ke atas ruang udara negara ini terletak sepenuhnya pada pemerintah Indonesia,” kata pegawai Kementerian Pertahanan, Rico Ricardo Sirait dalam satu kenyataan semalam.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai tindak balas kepada laporan draf perjanjian antara Jakarta dan Washington yang mencadangkan pesawat AS akan mempunyai akses penuh ke ruang udara Indonesia.
Rico berkata, sebarang pelan kerjasama pertahanan dengan negara lain dinilai dengan teliti dan mesti memberi manfaat kepada Indonesia.
“Perjanjian sedemikian mesti mengutamakan kepentingan negara dan mematuhi undang-undang negara dan antarabangsa yang terpakai,” tambahnya.
Ujarnya lagi, jika dianggap tidak menguntungkan, pemerintah berhak untuk menolaknya dan mengekalkan kawalan penuh kedaulatan.
Beliau juga menggesa orang ramai agar tidak terpedaya dengan maklumat yang beredar di media sosial.
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mengumumkan perkongsian pertahanan utama dengan Indonesia susulan pertemuan dengan menteri pertahanannya di Pentagon.
“Kami sedang meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama sebagai pengiktirafan terhadap kekuatan dan potensi hubungan pertahanan dua hala kami,” kata Hegseth dalam satu kenyataan di platform X.
“Perkongsian ini merangkumi pemodenan ketenteraan dan pembinaan kapasiti, latihan dan pendidikan ketenteraan profesional serta latihan dan kerjasama operasi,” demikian menurut satu kenyataan bersama.
“Kedua-dua negara mengesahkan semula komitmen bersama untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik,” kata kenyataan itu.
Walaupun Jakarta mengatakan bahawa ia mengekalkan postur diplomatik yang tidak sehaluan, tahun lalu, ia menyertai blok BRICS ekonomi baru muncul yang merangkumi Russia dan China.
Presiden Prabowo Subianto turut bertemu dengan rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin semalam untuk rundingan minyak. – AFP/AGENSI














