fbpx
Kontena-kontena e-waste mula dihantar pulang melalui Pelabuhan Barat.

[VIDEO] 15 kontena e-waste dihantar semula ke negara asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Sebanyak 15 kontena pertama berisi sisa elektronik atau e-waste yang dibawa masuk secara haram ke Malaysia dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Barat di sini, hari ini.

Proses penghantaran tersebut dilakukan bermula pukul 8 pagi oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan haram sisa elektronik.

Katanya, operasi berterusan pasukan petugas khas bermula Januari lalu telah menahan 254 buah kontena seberat 6,200 tan untuk diambil tindakan dihantar keluar semula.

“Ini merupakan satu pencapaian penting kepada kami kerana ia membuktikan apabila semua agensi bekerjasama dengan satu matlamat, usaha membanteras kemasukan sisa elektronik haram dapat dilaksanakan dengan lebih berkesa

“Jadi, diharap pada hujung bulan ini kita dapat menggerakkan 150 buah kontena e-waste ke negara asal yang telah ditahan kita,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan lokasi negara bagi penghantaran kontena e-waste itu.

Menurut beliau, berdasarkan rekod sebanyak 803 kontena e-waste telah dikenal pasti termasuk yang ditahan daripada Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) sebelum ini.

Tambahnya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan negara ini bebas daripada e-waste.

“Malah, kita turut berkongsi maklumat dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai sudut penguatkuasaan undang-undang lebih luas di luar Pelabuhan.

“Dalam masa sama, sudah tentu ada perbincangan dalam memasukkan JKDNKA ke dalam Pasukan Petugas Khas bagi memantapkan lagi operasi AKPS,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran sebenar adalah untuk mengekalkan momentum kerjasama antara agensi selain memastikan semua baki kontena dapat dihantar semula ke negara asal.

“Cabaran utama masih di hadapan. Kita perlu mengekalkan tahap kerjasama dan koordinasi ini bagi memastikan semua kontena yang masih berbaki dapat dipulangkan semula,” katanya.

Kosmo! pada 11 Mac lalu melaporkan AKPS akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan penghantaran semula kontena berisi e-waste yang ditahan agensi tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN