KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan semua projek berorientasikan projek rakyat diteruskan walaupun berdepan konflik di Asia Barat dan peningkatan kos semasa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi barkata, kementeriannya kekal komited untuk melindungi projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, meskipun ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik dan kenaikan harga bahan api memberi kesan kepada sektor pembinaan.
“Kita masih mampu bertahan buat masa ini, namun kita perlu menyesuaikan pendekatan dan bekerja dengan lebih bijak bagi menyokong industri, khususnya kontraktor yang terjejas,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.
Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Kerja Raya sedang meneroka beberapa langkah mitigasi bagi memastikan projek dapat diteruskan tanpa gangguan.
Jelasnya, antara langkah yang dipertimbangkan termasuk mengecilkan skop projek tertentu, khususnya kerja berskala kecil melibatkan kontraktor kategori G1 hingga G4 dalam penyenggaraan dan pembaikan jalan Persekutuan.
“Sebagai contoh, jika sesuatu projek pada asalnya dirancang dengan kos RM1 juta bagi setiap kilometer, kita mungkin mengurangkan panjang jalan yang terlibat, sekiranya sesuai dan projek belum dimulakan,” ujarnya.
Beliau menambah, bagi projek yang telah berjalan atau hampir siap, pelarasan adalah terhad, namun kementerian akan terus membantu kontraktor melalui pelbagai pendekatan.
Alexander turut menyatakan keyakinan bahawa usaha berterusan itu dapat mengelakkan sebarang projek daripada dihentikan.
“Kita berharap dengan langkah yang dilaksanakan, tiada projek yang akan terhenti,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 855 projek sedang dilaksanakan di seluruh negara di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya.
Menurutnya lagi, kementerian turut terlibat secara aktif dalam perbincangan di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bermesyuarat setiap minggu bagi menentukan hala tuju dasar serta pelarasan yang diperlukan merentas kementerian. – KOSMO! ONLINE














